9:46 AM

Negaraku

Tanggal 31 Ogos 2007, lengkaplah 50 tahun Negara Malaysia bergelar negara merdeka. Seperti saban tahun, hari kemerdekaan selalunya disambut dengan penuh kemeriahan serentak dengan laungan kemerdekaan daripada mereka yang taksub dengan kebebasan sementara tanpa memikirkan apa yang telah, sedang atau akan mereka lakukan demi mencapai, mengisi atau sekurang-kurangnya memelihara kemerdekaan ini.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mampu berdiri megah pasca era kolonisme. Ia mampu menggegarkan seantero dunia dengan kehebatan, kemegahan dan kecemerlangan yang dimilikinya berbanding dengan “abang-abangnya” yang menerima pengisytiharan kemerdekaan terlebih dahulu daripada “Queen”. Ironinya, kemerdekaan negara ini mendapat restu daripada pihak penjajah yang dahulunya merampas tanah dan maruah negara bumi bertuah ini. Memijak, menghina dan membunuh penduduk peribumi yang dianggap mereka hina dan tidak sama taraf dengan mereka. Itulah yang berlaku keatas manusia yang alpa dengan kekuasaan sementara yang dianugerahkan tuhan kepada mereka. Kuasa yang sepatutnya membawa manusia kepada masa depan yang lebih cemerlang, dieksploitasikan sepenuhnya semata-mata untuk memastikan mereka sama taraf dengan tuhan yang menciptakan mereka.

Mungkin ini merupakan petanda bahawa kita merupakan sekutu yang boleh dipercayai dalam mencanang agenda penjajahan moden demi meneruskan usaha mereka menguasai dunia ini dengan cara yang lebih halus dan berhikmah. Ia terbukti lebih efektif berbanding menumpahkan darah para hamba mereka ataupun membazirkan curahan dana para kapitalis dalam menaja setiap pertumpahan darah yang berlaku. Atau, ia juga boleh dianggap sebagai satu pengisytiharan bahawa negara kita telah dikuasai oleh mereka sepenuhnya sehingga kita berjaya melepasi tahap “Quality Control” yang mereka tentukan, sekaligus meyakinkan mereka bahawa kita tidak lagi mampu bangkit untuk menetang sebarang penjajahan era baru mereka.

Jika diintai dari sudut apa yang berlaku di jazirah arab, orang-orang “Queen” ini dengan sesuka hati melakar garis-garis halus diatas peta tanah arab demi memastikan hak dan kepentingan negara mereka terjamin. Sehingga sanggup menggadaikan nilai kemanusiaan dengan menyembelih, membunuh dan berbagai lagi jenayah yang dilakukan. Sememangnya perlakuan seperti ini tidak layak dimasukkan kedalam istilah kamus manusia normal tetapi adalah selayaknya dipahatkan didalam norma hidup binatang buas yang kehilangan anaknya akibat dibunuh oleh pemburu. Persoalanya dengan cara apa mereka melakar garis-garis halus itu? Sudah tentunya dengan mata pena. Ya, mata pena yang berdakwatkan darah dan titik peluh umat yang dahulunya megah dan dipandang mulia kerana memiliki kesinambungan risalah agung daripada yang Maha Esa. Tetapi umat itu sekarang hanya meninggalkan nama yang dahulunya megah dan terus membiarkan dirinya diulit mimpi manis buatan manusia bobrok yang mengimpikan dunia tanpa kehadiran mereka.

Sungguh menghairankan seseorang yang nyenyak tidur sedangkan mentari pagi sentiasa berada bersama mereka dalam menyinari setiap jalan kehidupan yang mereka pilih, tetapi dalam masa yang sama, seseorang yang lain pula sentiasa berjaga ditengah malam kelam mencari-cari erti mereka hidup walaupun sedar mentari pagi tidak akan singgah walaupun sebentar kedalam hari mereka. Itulah realiti mereka yang berada diatas. Takhta yang dahulunya diusung utuh dihadapan musuh-musuh mereka sehinggakan musuh-musuh mereka tunduk patuh dan hormat kini hanya tinggal sebuah lagenda yang tiada bezanya dengan lagenda kemegahan kota Atlantis.
Lain pula kisahnya dengan apa yang berlaku di Malaysia. Ketika meniti era kemodenan, dalam keadaan tidak sedar, kita seakan-akan menuruti jejak negara yang pernah menjajah kita suatu ketika dahulu. Kemusnahan akhlak dan nilai kemanusiaan seolah-olah begitu mudah ditukar-ganti dengan kemodenan taraf hidup yang semakin meningkat.

Ketika sejarah era revolusi perindustrian di negara “matahari terbenam” itu suatu ketika dahulu disingkap semula, pada ketika itulah masalah sosial dikalangan penduduk negara itu semakin mendapat tempat. Ibubapa yang terpaksa bekerja seawal jam 5 pagi terpaksa meninggalkan anak-anak disekolah semata-mata untuk memastikan mereka tidak tercicir dalam perlumbaan mengejar kekayaan material. Anak-anak yang membesar dalam keadaan yang terabai ini mula mencari keseronokan duniawi sehingga tersasar daripada landasan kehidupan manusia normal. Mereka mula melakukan vandelisma, bergaduh, membunuh, tidak terlepas juga diantaranya yang terlibat dalam pergerakan Nazi, serta mengagung-agungkan idealisma-idealisma yang menentang fitrah seseorang manusia. Apa yang berlaku akhirnya, polemik politik yang berterusan di parlimen terpaksa akur dengan keadaan semasa yang semakin dicengkam masalah sosial serta mengisytiharkan “Inilah gaya hidup moden” demi menutup kecelaruan daripada apa yang mereka kejarkan suatu ketika dahulu. Malah tanpa segan silu, mereka mengeksport pula budaya “moden” mereka ini ke negara luar melalui penguasaan media massa yang sememangnya diungguli oleh mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka yang tidak sealiran dengan mereka pula dituduh tidak mengikut rentak moden dan tidak berfikiran terbuka. Jika seseorang manusia itu berfikiran waras, mereka akan sedar bahawa untuk hidup diatas muka bumi ini dengan aman dan harmoni, mereka perlu menuruti sesuatu kewujudan atau peraturan yang lebih dikenali sebagai fitrah. Mereka yang tidak menuruti kehendak fitrah manusia ini pula boleh dianggap seperti binatang yang tidak perlu dikekang oleh apa-apa peraturan untuk hidup. Konklusinya, manusia moden canangan orang-orang “Queen” ini hanyalah membawa manusia kearah kebinatangan dan kecelaruan hidup yang semakin menebal didalam diri seseorang.

Anehnya, pengikut budaya ini semakin hari semakin ramai dengan jumlah yang mampu membentuk sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi. Ya, negara safari yang selayaknya didiami oleh binatang-binatang buas dan makhluk-makhluk hina yang tidak berakal. Apa pula hasil pegeluaran negara ini jika dibentuk? Tentu sahaja baja organik yang selayaknya diletakkan di pasu-pasu hiasan. Mereka sepatutnya tidak layak mendiami dunia manusia berakal kerana kedatangan mereka hanya mendatangkan musibah keatas orang lain.

Inilah realiti yang bakal dihadapi oleh negara kita jika kita terus leka dengan perlumbaan material sehingga mengabaikan unsur-unsur kerohanian yang sepatutnya bergerak seiring. Malah amat ditakuti jika negara kita mengalami kebejatan sosial yang lebih meruncing daripada apa yang berlaku di seberang. Jika diambilkira dari segi sistem pemerintahan, kesuksesan yang ditonjolkan melalui demostrasi-demostrasi ganas di negara seberang membuktikan kita perlu melakukan revolusi secepat mungkin atau sekurang-kurangnya memperkasakan lagi apa yang dicedok agar kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi. Alhamdulillah, setakat ini pendekatan bijak dan harmonis yang diambil oleh pihak pemerintah berjaya mengekang kemungkinan yang bakal dihadapi.

Intaian dari sudut ekonomi pula menunjukkan sistem pasaran terbuka hanya akan melahirkan golongan kapitalis yang mementingkan kekayaan individu tanpa mengambilkira golongan yang memerlukan. Kita juga berjaya mengekangnya dengan memperkenalkan sistem perdagangan berunsurkan islam berbanding sistem perdagangan konvensional yang membuntuti golongan kapitalis seberang. Selain itu, sikap rakyat negara ini yang pemurah telah berjaya mengurangkan jarak perbezaan taraf hidup dikalangan golongan marhaen. Nampaknya dari segi politik dan ekonomi, kita berjaya melarikan diri sedikit demi sedikit daripada cengkaman ideologi seberang. Tetapi bagaimana pula jika intaian dari sudut budaya diambil kira?
Setandingkah tarian zapin, dendangan dikir barat, ataupun seni silat jika dibandingkan dengan tarian “breakdance”, budaya “black metal” ataupun ideologi sampah “skinhead”? jika anak-anak muda kita mejawab ya, maka tidak syak lagi Malaysia bakal menjadi negara safari seterusnya.

Oleh itu, kita haruslah sedar, bahawa kedatangan kita sebenarnya membawa erti yang mendalam bagi masyarakat sekitar terutmanya masyarakat yang terisolasi daripada dunia luar. Kita mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu diselesaikan segera sebelum semuanya terlambat. Jika kita terus leka, Malaysia tetap akan menjadi maju tetapi identitinya sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bermaruah akan hilang. Bak kata Tun Dr. Mahathir “Hanya mereka yang cekal dan tabah, bakal membina mercu tanda. Bangsanya yang Berjaya”................

0 comments: