10:20 PM

Re: untuk saudara "christcomes" dan anda semua

">Salam sejahtera diucapkan kepada saudara ‘Christcomes’ diatas soalan yang saudara titipkan kepada saya didalam artikel yang “Semua untuk satu dan satu untuk semua”. Saya membuat keputusan untuk menyiarkan jawapan saya kepada persoalan saudara secara terbuka kerana ingin berkongsi pendapat dan pandangan saya mengenai hakikat dunia jirim. Mungkin ada dikalangan pembaca yang mempunyai pendapat yang berbeza atau mungkin ingin berkongsi pendapatnya nanti, bolehlah memberikan komentar yang wajar dan matang.

Terlebih dahulu, Terima kasih diucapkan kepada saudara kerana berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai perspektif saya terhadap dunia material/jirim ini. Seperti yang saudara sedia maklum, alam jirim ini merupakan alam yang tidak stabil dan saling memerlukan antara satu sama lain untuk memastikan kitaran keseimbangan mampu dicapai.

Sedikit perubahan berlaku terhadap kitaran keseimbangan ini mengakibatkan keseluruhan sistem menjadi tidak stabil dan tidak seimbang lagi. Oleh itu, dari persoalan saudara mengenai mengapa tuhan menciptakan segala-galanya, adalah jelas, untuk memastikan keseimbangan ini tercapai.

Selain itu, saya berpendapat bahwa tujuan makhluk jirim ini diciptakan adalah untuk manusia kenal, pelajari dan mengambil iktibar dari penciptaanya. Ini kerana penciptaan makhluk jirim ini adalah untuk melengkapi hakikat kewujudan manusia itu sendiri. Tidak akan lengkap sesuatu itu digelar manusia jika tiada tanah untuk dipijak, tiada air untuk di minum, tiada tanaman dan ternakan untuk di makan, dan tiada ilmu untuk dipelajari.

Akan tetapi jawapan ini hanya memfokuskan mengenai hakikat penciptaan selapas sesuatu penciptaan. Untuk mencipta sesuatu yang ada daripada tiada, saya akui, saya sendiri tidak mempunyai ilmu tentang itu, dan ketahuilah, tiada suatu makhluk tuhan pun yang tahu melainkan Tuhan itu sendiri. Ini dijelaskan didalam beberapa potong ayat Al-Quran didalam surah Al-Baqarah ayat 30 hingga 33 yang bermaksud;

“Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat; “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata; “Apakah Engkau inign menciptakan orang yang merosak dan menumpahkan darah disana, sedangkan kami bertasbih memujimu dan menyucikan namaMu?”. Dia berfirman; “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

Dan dia ajarkan kepada Adam nama-nama benda kesemuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat, seraya berfirman; “Sebutkan kepadaku nama semua benda ini jika kamu yang benar!”

Mereka (malaikat) menjawab”Mahasuci engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah engkau ajarkankepada kami, sungguh, engkaulah yang maha mengetahui dan mahabijaksana”.

Dia berfirman, “Wahai Adam!, beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu. Setelah dia (Adam) menyebutkan nama-namanya, Dia berfirman,”Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan”.”

Daripada terjemahan ayat diatas, jelas membuktikan bahawa makhluk sesuci dan sedekat malaikat dengan Tuhan sendiripun tidak mempunyai ilmu tentang mengapa tuhan hendak menciptakan makhlukNya daripada tiada kepada ada. Apatah lagi kita sebagai manusia yang adakalanya dekat dengan Tuhan dan adakalanya jauh dariNya.

Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa ilmu Tuhan itu maha luas, kerajaanNya mahaluas, KekuasaanNya mahaluas, dan kepunyaanNyalah segala kesempurnaan, Kelebihan dan Kekuasaan. Bagaimana kita yang serba lemah, dan serba kekurangan ini ingin mengetahui apa yang Tuhan ketahui? Layakkah kita berdiri sama tinggi dengan Tuhan? Memiliki apa yang Tuhan miliki? Jika kita menjawab ya, maka tiadalah bezanya kita dengan Firaun yang mengaku dirinya sesuci Tuhan. Dan yang paling penting, layakkah kita menceroboh dan mempersoalkan hak dan kekuasaan tuhan dalam menciptakan sesuatu makhluk?.

Bagi saya, kita sebagai makhlukNya boleh sahaja mempersoalkan mengapa tuhan menciptakan ia begini, akan tetapi untuk apa tuhan menciptakan makhluk, itu adalah hak mutlakNya dan kita tidak layak untuk mempersoalkan mengapa.

Untuk Soalan saudara kita yang kedua mengenai apakah kedudukan manusia disisi Tuhan, saya telahpun menjelaskan pendapat saya bahawa kedudukan manusia itu adalah setaraf dengan makhluknya yang lain. Akan Tetapi, penciptaan KITA mempunyai kedudukan yang tersendiri disisi Tuhan. Ini kerana peranan kewujudan KITA di dunia ini adalah untuk memakmurkan alam ini disamping untuk diuji tahap keimanannya kepada sang Pencipta.

Sewaktu menjalankan tugas sebagai Khalifah Di dunia ini, KITA telah diuji dengan dua bisikan iaitu, bisikan akal dan nafsu. Kewujudan ini menyebabkan adakalanya manusia itu tergelincir dari menuju kehadrat Tuhannya, dan adakalanya menjadikan mereka lebih dekat dengan Tuhannya. Ini menyebabkan manusia sentiasa berada dalam keadaan perantaraan dan samada kita berjaya mengawal kedua-duanya atau tidak.

Berbeza dengan penciptaan Jin dan Malaikat, mereka hanya memiliki satu bisikan iaitu; malaikat memiliki akal dan syaitan memiliki nafsu sahaja. Oleh kerana itulah, jika KITA berjaya mengawal keduanya, maka dengan izinNYa, darjat kita lebih tinggi dari malaikat, tetapi jika kita gagal mengawal keduanya, kita lebih hina dari Syaitan itu sendiri. Ingat, sehina-hina Syaitan, tidak pernah diantara mereka mengaku bahawa mereka adalah tuhan, tetapi manusia, ada yang sanggup mengakuinya.

Untuk itu, saya berpendapat, Disisi tuhan manusia adalah setaraf dengan makhluknyaNya, akan tetapi KITA, memiliki kedudukanyang tersendiri setimpal dengan amalan dan tahap kepercayaan kita terhadap Tuhan.

Wallahualam.

11:53 PM

Semua untuk satu dan satu untuk semua.

Tuhan menciptakan pelbagai jenis makhluk yang langsung berbeza diantara satu dengan yang lain. Ini jelas dengan merujuk kepada kekuasaan dan keagungan penciptaan tumbuh – tumbuhan, haiwan, gunung-ganang, laut dan darat, langit dan bumi, rekabentuk awan yang pelbagai, bentuk mukabumi yang berbeza, planet-planet, system suria, bintang-bintang, malah penciptaan manusia itu sendiri yang langsung tidak sama diantara satu dengan yang lain baik dari segi rupa, perangai, latar belakang, fizikal, daya, tenaga, dan kekuatan serta pelbagai lagi.

Tidakkah ini membuatkan kita terfikir, adakah tuhan tidak jemu atau kering dari sudut idea dalam menciptakan pelbagai penciptaan tadi yang jelas, tiada satu pun yang serupa. Sesetangah pendapat ilmuan yang ahli didalam bidangnya mengatakan, tuhan tidak akan menciptakan dua benda yang sama sejak dari bermulanya penciptaan makhluk sehinggalah makhluknya kembali kepadanya. Untuk itu, makhluk tuhan tidak seharusnya merasa rendah diri mahupun terpinggir dari menjadi sebahagian dari system kerana makhluk yang berbeza, mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan system tuhan dimukabumi ini.

Ingatlah, tuhan tidak akan membebankan makhluk dengan sesuatu yang diluar dari kemampuan makhluk tersebut. Tuhan, entity yang yang agung dan hanya penciptalah yang lebih tahu akan apa yang diciptakanya. Untuk itu, makhluk seharusnya berusaha untuk keluar dari bergelut dengan dunia penolakan terhadap hakikat ketuhanan dengan mencabar kuasa pencipta. Seperti yang di sampaikan, jikalau kamu ingin berlaku ingkar terhadap tuhan mu, maka carilah bumi lain untuk kamu hidup, makanlah dari rezeki yang datangnya bukan dari rezeki tuhanmu, dan hiruplah udara yang langsung bukan dari tiupan tuhanmu.

Cabaran terhadap manusia yang berada di dalam dunia penolakan ini adalah jelas dan penuh dengan sindiran. Sedarlah, kita hanyalah makhluk, dan makhluk merupakan pelengkap dan penggerak sesuatu system yang sudah stabil. Golongan penolak inilah yang menjadikan system itu tidak stabil dan seterusnya, apabila telah banyak bahagian dari system tersebut rosak, maka semakin dekatlah dengan hari dimana makhluk perlu mengadap penciptanya. Sebab itu, seperti yang telah disampaikan, dan kaum yang ingkar itu, telah kami gantikan dengan kaum yang lebih baik dari mereka.

Oleh itu, sebagai pelengkap dan penggerak sesuatu system, makhluk saling memerlukan antara satu sama lain seperti haiwan yang memerlukan tumbuhan, tumbuhan yang memerlukan udara, udara yang memerlukan tekanan, tekanan yang memerlukan daya, dan begitulah seterusnya. Jika salah satu dari bahagian ini dirosakkan, maka terhapuslah aturan yang tadinya stabil dan hancurlah keseluruhan system tersebut.

konklusinya, makhluk semuanya adalah setaraf dan memiliki peranan yang berbeza dalam menjalankan dan melengkapkan system tuhan itu sendiri dan diakhir matlamat sesuatu system itu, sudah tentulah ia akan berbalik kepada hakikat pencipta itu sendiri, inilah bukti bahawa tuhan itu wujud, dan tuhan itu satu.

5:06 PM

Manusia dan KITA

Alam ini terbina dari partikel-partikel yang tampak dan mempunyai jisim. Ini merangkumi daripada kewujudan makhluk hidup seperti mikroorganisma, tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan manusia sehinggalah kepada kewujudan makhluk bukan hidup seperti pasir, air, gas, planet, matahari, cakerawala, gelombang dan sebagainya. Semuanya terbina daripada struktur yang paling asas, iaitu, elektron, proton, dan neutron. Sekompleks manapun sesuatu makhluk, ia tetap merupakan menifestasi tiga komponen tersebut. Oleh itu, alam ini dinamakan sebagai alam jirim atau alam material.

Oleh kerana ia terbina dari jirim, maka alam ini tidak boleh terlepas dari ketetapan yang memberikan mereka kerukunan dalam hakikat kewujudan mereka. Kerukunan ini diterjemahkan didalam bentuk hukum alam. Dan tiada satupun kewujudan makhluk jirim mampu melangkaui kerukunan dan ketetapan hukum alam ini. Diantaranya ialah, hukum masa dan ruang.

Ini kerana, proses interaksi yang sentiasa berlaku dari masa ke semasa merupakan satu proses yang berterusan dan menghasilkan output yang spesifik bergantung kepada jenis interaksi tersebut. Dan hasilan yang spesifik tersebut akan meneruskan interaksi yang lain dalam bentuk kitaran semulajadi yang besar. Oleh itu, walaupun interaksi tersebut merupakan proses yang berterusan, secara kumulatifnya, ia tetap memberikan nilai yang malar.

Dan apa yang menariknya, proses ini bukan berlaku secara individu atau perseorangan, akan tetapi ia berlaku keatas setiap jirim yang terdapat di alam ini dengan jumlah yang mustahil untuk dihitung. Hasilan dari interaksi tersebut pula, akan merubah persekitarannya samada ia akan membina atau memusnah interaksi sistem yang lain. Oleh kerana itulah, hukum masa merupakan sesuatu yang hampir mustahil untuk dimanipulasi oleh dunia jirim. Ini Kerana, pengeksploitasian kerukunan masa ini akan melibatkan proses memanipulasi keseluruhan interaksi jirim yang terdapat dialam semesta ini dalam erti kata lain, kemungkinan untuk ia berlaku teramat sangatlah kecil.

Begitu juga dengan ruang. Ruang atau dimensi merupakan keadaan dimana sesebuah jirim itu wujud dan berinteraksi. Selain itu, ia juga bertindak sebagai pengawas keseimbangan sesebuah interaksi jirim didalam alam ini. Sebarang tindakbalas dan output dari tindakbalas tersebut berlaku didalam ruang atau dimensi yang spesifik membolehkan ia dinilai, dihitung, dan dimanipulasikan.

Walaupun ruang memberikan sesuatu jirim itu autonomi untuk berinteraksi, akan tetapi interaksi tersebut tetap tidak mampu melangkaui ruang itu sendiri. Ini kerana, seperti yang telah dijelaskan diatas, interaksi jirim ini bukannya sedikit bilangannya, akan tetapi ia mencecah tahap mustahil untuk dibilang. Pemecahan kerukunan dimensi atau ruang ini akan mengakibatkan keseluruhan interaksi tersebut berkembang luas dan tidak boleh mencapai keseimbangan melalui proses kitaran semulajadi dan secara tidak langsung akan menjadikan interaksi tersebut musnah.

Bagaimana pula dengan manusia. Hakikat kewujudanya juga merupakan menifestasi tiga komponen tersebut. Dari interaksi diantara elektron, proton, dan neutronlah, maka terhasilnya jasad manusia secara kompilasi protein, karbohidrat dan pelbagai lagi struktur kimia organik. Oleh itu, jasad manusia ini juga tidak akan terlepas dari hukum alam tersebut.

Akan tetapi, jauh didalam diri manusia terdapat sesuatu kewujudan lain yang langsung tidak melibatkan sebarang interaksi dengan dunia jirim. Ia dinamakan sebagai perasaan, pemikiran, dan kepercayaan. Kewujudan ini membimbing manusia secara lahiriah dan merupakan faktor penentu kepada perbuatan dan tindakan manusia.

Kewujudan inilah merupakan hakikat kewujudan KITA yang sebenar. Kita bukanlah sebahagian dari dunia jirim ini, akan tetapi, kita merupakan suatu kewujudan yang jauh lebih kompleks dan langsung tiada kaitan dengan hukum alam ini. Kewujudan kita adakalanya diterjemahkan oleh ahli filosof sebagai roh. Roh ini pula merupakan paduan diantara pemikiran, keinginan dan naluri.

Diantara bukti yang meneunjukkan bahawa manusia ini merupakan sebahagian dari dunia jirim ialah:

1. Komposisi manusia itu sendiri sama dengan apa yang boleh didapati di dalam dunia jirim/material.

2. Jika tindakbalas kimia merupakan interaksi antara dua atau lebih partikel menghasilkan sesuatu sebagai penimbal, begitu juga dengan manusia dan alam, interaksinya dengan alam akan menghasilkan sesuatu sebagai penimbal samada baik atau buruk

3. Manusia memerlukan medium untuk melakukan proses interaksi seperti juga jirim lain

4. Manusia memerlukan satu sama lain bagi meneruskan kelangsungan kewujudannya di dunia ini seperti juga jirim/material

5. Manusia boleh dipengaruhi oleh persekitaran.

6. Manusia memiliki sifat-sifat kelemahan dan kekurangan seperti makhluk dunia jirim/material

7. Manusia tidak terlepas dari peraturan alam (Law of Nature) seperti masa, ruang, dsb. Seperti juga makhluk dunia jirim yang lain.

Oleh itu, ketahuilah sebenarnya dunia jirim ini hanyalah bagaikan pakaian dan apabila keseluruhan sistem ini hancur, kita akan tersedar bahawa kita sebenarnya adalah makhluk yang lemah dan hanya pemain didalam dunia jirim ini sahaja. Oleh itu, apa sebenarnya yang kita kejarkan selama ini hanyalah sementara sahaja dan tidak lebih daripada khayalan yang pasti akan musnah suatu hari nanti.

Kerana itulah

“Manusia merupakan sebahagian dari dunia ini, akan tetapi KITA bukan sebahagian darinya”