9:49 AM

Pembentukan Bangsa Malaysia

Jika dilihat daripada perkembangan sejarah kebangkitan Jerman diera perang dunia kedua, kita tidak dapat lari daripada satu fahaman yang cukup sinonim dengan ideologi politik yang berkonsepkan diktator di benua Eropah pada ketika itu. Fahaman yang di popularkan oleh Adolf Hitler ini lebih dikenali sebagai fahaman “Nazisme”. Ia merupakan singkatan daripada perkataan “Nasionalisocializme” yang membawa maksud “Penyatuan seluruh bangsa”. Bermatlamatkan penyebaran fahaman nazi serta menamatkan era penjajahan secara saraf oleh kuasa paksi yang dikepalai oleh Britain, Adolf Hitler secara terang-terangan menyampaikan konsep nasionalismanya melalui penulisan buku “Mein Kampf” yang ditulis oleh beliau sewaktu dipenjarakan oleh pihak berkuasa jerman. Penulisanya yang tajam, setajam mata pedang telah menempelak semua campurtangan kuasa luar keatas tanah airnya yang tercinta. Pada ketika itu, negara-negara kuasa paksi sedang rakus mencorakkan percaturan politik dan pembangunan negara-negara dunia ketiga, terutamanya negara-negara yang kalah di tangan mereka sewaktu perang dunia pertama meletus. Reformasi yang telah berjaya direalisasikan ini telah merubah masa depan Jerman daripada sebuah negara tawanan perang kepada sebuah negara neokolonisma yang digeruni oleh seantero dunia terutamanya negara-negara di benua Eropah. Persoalanya dari manakah kecemerlangan ini lahir?.

Ribuan tahun dahulu, di sebuah wilayah feudal di Negara China yang dikenali sebagai wilayah Qin, lahir seorang putera sewaktu peperangan merebut harta, tanah jajahan, dan kuasa sedang hebat meletus diantara wilayah feudal yang lain. Bayi malang ini telah berazam untuk mendukung satu cita-cita, iaitu “All under heaven” atau “Semua dibawah satu syurga”. Beliau akhirnya berjaya menyatukan seluruh wilayah yang bergolak di Negara China dibawah satu bangsa iaitu Bangsa Cina dan menubuhkan Negara China. Beliau jugalah yang telah mengarahkan pembinaan tembok besar China simbolik kepada keteguhan, keutuhan, dan kesatuan seluruh rakyat negara tersebut demi menjaga keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi oleh mereka hasil daripada semangat bersatu padu. Beliau adalah tokoh penting kearah pembentukan Negara China baru serta pemimpin yang berjaya menamatkan era perang saudara di negara tersebut. Beliau dikenali sebagai Maharaja Shih Huang Ti. Persoalanya, apakah intipati yang cuba digarapkan oleh maharaja ini dalam pembentukan Negara China baru yang gemilang?.

1427 tahun dahulu, berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah perkembangan tamadun Islam di seluruh dunia. Pada tanggal 1 Muharram tahun pertama Hijrah, Nabi Muhammad S.A.W telah diperintahkan agar berhijrah dari kota Mekah ke Kota Madinah sebagai langkah awal pembentukan Negara Islam berdaulat. Setelah baginda sampai di sana, baginda telah mempersaudarakan seluruh kaum Muhajirin dan Ansar dibawah satu kalimah suci iaitu “Laailahaillah”. Baginda amat menitikberatkan perpaduan ummah sehinggalah perkataan terakhir baginda sebelum baginda wafat ialah “Ummati, ummati, ummati” yang bermaksud, “Ummatku, ummatku, ummatku”. Baginda telah mengajar seluruh umatnya bahawa tiada seorangpun di dunia ini lebih tinggi darjatnya melainkan mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, sekaligus menyamaratakan hak seluruh manusia dalam fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Hasil daripada pentarbiyyahan baginda, umat Islam berjaya menjadi sebuah bangsa yang yang amat maju dalam segala segi. Bangsa ini terus menjadi “Benchmark” kepada dunia selama 1373 tahun sebagai satu simbol ketamadunan, dan keintelektualan disamping tidak mengenepikan pambangunan jatidiri, emosi, dan rohani. Persoalan timbul setelah kejatuhan bangsa ini selepas perang dunia pertama meletus, apakah pendekatan utama yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W demi membina sebuah bangsa yang terbilang?.

Daripada bingkisan sejarah di atas, dapat kita saksikan betapa kesatuan masyarakat amat penting dalam membina sebuah bangsa yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya, dan agama. Usaha dan komitmen yang tinggi amatlah dititikberatkan bukan sahaja dari pihak yang memerintah, tetapi juga pihak yang diperintah demi merealisasikan sebuah bangsa dan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyaksikan dimana perpecahan dikalangan masyarakat Malaysia boleh berlaku jika sensitiviti sesuatu kaum diabaikan dalam pergaulan seharian. Peristiwa bersejarah ini telah berjaya membuka mata sesetengah pihak mengenai betapa pentingnya semangat perpaduan dikekalkan dalam kehidupan bermasyarakat. Walaupun kerajaan telah berjaya menyelesaikan masaalah ini dengan jayanya, persoalan tetap timbul. Adakah kemungkinan untuk peristiwa hitam ini berlaku sekali lagi masih wujud?. Benarkah masalah ini telah diselesaikan? Atau semua ini hanyalah sekadar retorik politik demi menjaga kepentingan peribadi sesetengah pihak?.Tetapi segelintir rakyat yang menilai masalah ini dengan pandangan yang terbuka melihat, hanya dengan menyatukan seluruh bangsa di Malaysia, barulah masalah perkauman ini dapat diselesaikan secara menyeluruh. Hakikatnya, kerajaan Malaysia wajib merangka pelan pembangunan untuk mewujudkan Bangsa Malaysia yang maju dan progresif serta aktif di arena antarabangsa menjelang tahun 2020. Usaha murni ini memerlukan sokongan daripada seluruh rakyat di Malaysia demi membina sebuah bangsa yang maju dan berdaya saing.

Usaha penyatuan bangsa ini perlulah dimulakan dengan menyatukan seluruh fahaman politik di Malaysia. Melalui mekanisma ini, komitmen yang tinggi diperlukan daripada pemimpin parti politik berbilang kaum di Malaysia dan ia perlulah dilaksanakan secara telus tanpa memikirkan kepentingan peribadi dan kroni masing-masing. Mungkin ada yang mengatakan saranan ini seolah-olah menghapuskan sistem demokrasi yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan Malaysia. Sejujurnya, tiada asas untuk kenyataan ini dipertimbangkan. Kerana yang diubah hanyalah corak ideologi yang diperjuangkan oleh sesetengah parti politik daripada memikirkan kepentingan bangsa mereka sahaja kepada memikirkan kepentingan dan sensitiviti seluruh bangsa yang bersatu dibawah nama bangsa Malaysia. Hak parti pembangkang tidak perlu dinafikan. Mereka bebas menyebarkan fahaman yang mereka rasakan ia releven pada masa ini, tetapi parti pembangkang juga perlu melakukan reformasi dari segi mekanisma mengkritik kerajaan. Adalah lebih matang sekiranya pihak pembangkang memberi kritikan membina daripada penyebaran fitnah dengan tujuan memburuk-burukkan maruah sebelah pihak.

Masyarakat di Malaysia juga perlulah berfikiran lebih terbuka dalam membincangkan isu-isu sensitif tetapi penting kearah penyatuan bangsa. Mungkin ideologi Demokrasi memberi lebih ruang kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka suka untuk menduduki tampuk pemerintahan negara, tetapi rakyat haruslah bersikap professional dalam memilih individu yang dirasakan layak untuk memimpin mereka kearah pembangunan fizikal dan mental yang seimbang. Masyarakat yang matang ialah masyarakat yang tidak mudah terpengaruh dengan budaya atau corak pemikiran yang diimport dari luar. Mungkin ada yang sesuai untuk dijadikan pemangkin kearah penyatuan bangsa, tetapi masyarakat Malaysia perlulah bijak memilih ideologi yang bersesuaian dengan adat ketimuran. Lebih bijak lagi sekiranya masyarakat Malaysia cenderung untuk menjadikan corak pemikiran pemimpin tempatan sebagai ideologi yang boleh diterimapakai oleh semua. Budaya halenistik secara membabi-buta haruslah dijauhi agar kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi dapat dikekalkan.

Penyatuan parti politik seluruh bangsa di Malaysia mungkin akan mendapat tentangan yang hebat daripada sesetengah pihak yang tidak suka serta irihati melihat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah peka dalam menangkap segala bentuk bibit-bibit perpecahan yang dirasakan merbahaya kepada kepentingan bersama. Serangan dari dalam ini lebih dahsyat jika dibandingkan dengan serangan ideologi dari luar kerana kita sendiri tidak sedar siapa musuh kita. Lebih menakutkan lagi jika individu-individu seperti ini berjaya menduduki tampuk pemerintahan Negara. Demi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, rakyat perlulah peka dengan setiap agenda terselindung didalam sesebuah program atau aktiviti yang dirancang oleh pihak yang berkenaan serta berani menjatuhkan mana-mana penyangak bangsa melalui saluran yang betul tanpa mengenepikan hak dan sensitiviti orang lain. Mungkin hanya kita sahaja yang berprejudis dengan sesetengah pemimpin, tetapi tidak bagi orang lain. Oleh itu adalah lebih baik jika kita tidak menilai dengan perasaan dan pengamatan kita sahaja, pastikan alibi berada di tangan, dan kemukan petisyen ke mahkamah. Ini barulah satu tindakan matang yang lahir daripada mentaliti insan dunia pertama.

Akhir sekali, sebuah institusi kerajaan yang lebih telus perlulah dibentuk tanpa mengambilkira perbezaan antara fahaman politik, bangsa, agama dan budaya. Ini merupakan langkah penting kearah pembentukan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni. Secara logiknya majoriti rakyat melihat institusi kerajaan sebagai sebuah badan yang professional sekaligus menyebabkan mereka bersedia untuk mengikut setiap arahan dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Keaadan ini membuktikan kerajaan mempunyai autoriti penuh untuk mentadbir negara. Oleh itu kerajaan perlulah menjaga kepentingan rakyat secara telus demi mengelakkan kepercayaan rakyat kepada barisan kepimpinan Negara menjadi tiris sehingga meledakkan api reformasi seperti yang pernah berlaku pada tahun 1998 dimana pada ketika itu kerajaan Malaysia berada dibawah pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Kesimpulanya segala masalah yang melibatkan sensitiviti antara kaum haruslah dititikberatkan oleh semua pihak dalam usaha menjayakan doktrin penyatuan bangsa melalui politik ini. Dan segala bentuk bibit-bibit perpecahan yang dilihat akan lahir haruslah dipulihkan dengan semangat bersatupadu dibawah satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Malaysia.

1 comments:

Anonymous said...

woa..ni karang ke copy and paste ni?haha..tahniah