">Salam sejahtera diucapkan kepada saudara ‘Christcomes’ diatas soalan yang saudara titipkan kepada saya didalam artikel yang “Semua untuk satu dan satu untuk semua”. Saya membuat keputusan untuk menyiarkan jawapan saya kepada persoalan saudara secara terbuka kerana ingin berkongsi pendapat dan pandangan saya mengenai hakikat dunia jirim. Mungkin ada dikalangan pembaca yang mempunyai pendapat yang berbeza atau mungkin ingin berkongsi pendapatnya nanti, bolehlah memberikan komentar yang wajar dan matang.
Terlebih dahulu, Terima kasih diucapkan kepada saudara kerana berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai perspektif saya terhadap dunia material/jirim ini. Seperti yang saudara sedia maklum, alam jirim ini merupakan alam yang tidak stabil dan saling memerlukan antara satu sama lain untuk memastikan kitaran keseimbangan mampu dicapai.
Sedikit perubahan berlaku terhadap kitaran keseimbangan ini mengakibatkan keseluruhan sistem menjadi tidak stabil dan tidak seimbang lagi. Oleh itu, dari persoalan saudara mengenai mengapa tuhan menciptakan segala-galanya, adalah jelas, untuk memastikan keseimbangan ini tercapai.
Selain itu, saya berpendapat bahwa tujuan makhluk jirim ini diciptakan adalah untuk manusia kenal, pelajari dan mengambil iktibar dari penciptaanya. Ini kerana penciptaan makhluk jirim ini adalah untuk melengkapi hakikat kewujudan manusia itu sendiri. Tidak akan lengkap sesuatu itu digelar manusia jika tiada tanah untuk dipijak, tiada air untuk di minum, tiada tanaman dan ternakan untuk di makan, dan tiada ilmu untuk dipelajari.
Akan tetapi jawapan ini hanya memfokuskan mengenai hakikat penciptaan selapas sesuatu penciptaan. Untuk mencipta sesuatu yang ada daripada tiada, saya akui, saya sendiri tidak mempunyai ilmu tentang itu, dan ketahuilah, tiada suatu makhluk tuhan pun yang tahu melainkan Tuhan itu sendiri. Ini dijelaskan didalam beberapa potong ayat Al-Quran didalam surah Al-Baqarah ayat 30 hingga 33 yang bermaksud;
“Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat; “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”. Mereka berkata; “Apakah Engkau inign menciptakan orang yang merosak dan menumpahkan darah disana, sedangkan kami bertasbih memujimu dan menyucikan namaMu?”. Dia berfirman; “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.
Dan dia ajarkan kepada Adam nama-nama benda kesemuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat, seraya berfirman; “Sebutkan kepadaku nama semua benda ini jika kamu yang benar!”
Mereka (malaikat) menjawab”Mahasuci engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah engkau ajarkankepada kami, sungguh, engkaulah yang maha mengetahui dan mahabijaksana”.
Dia berfirman, “Wahai Adam!, beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu. Setelah dia (Adam) menyebutkan nama-namanya, Dia berfirman,”Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan”.”
Daripada terjemahan ayat diatas, jelas membuktikan bahawa makhluk sesuci dan sedekat malaikat dengan Tuhan sendiripun tidak mempunyai ilmu tentang mengapa tuhan hendak menciptakan makhlukNya daripada tiada kepada ada. Apatah lagi kita sebagai manusia yang adakalanya dekat dengan Tuhan dan adakalanya jauh dariNya.
Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa ilmu Tuhan itu maha luas, kerajaanNya mahaluas, KekuasaanNya mahaluas, dan kepunyaanNyalah segala kesempurnaan, Kelebihan dan Kekuasaan. Bagaimana kita yang serba lemah, dan serba kekurangan ini ingin mengetahui apa yang Tuhan ketahui? Layakkah kita berdiri sama tinggi dengan Tuhan? Memiliki apa yang Tuhan miliki? Jika kita menjawab ya, maka tiadalah bezanya kita dengan Firaun yang mengaku dirinya sesuci Tuhan. Dan yang paling penting, layakkah kita menceroboh dan mempersoalkan hak dan kekuasaan tuhan dalam menciptakan sesuatu makhluk?.
Bagi saya, kita sebagai makhlukNya boleh sahaja mempersoalkan mengapa tuhan menciptakan ia begini, akan tetapi untuk apa tuhan menciptakan makhluk, itu adalah hak mutlakNya dan kita tidak layak untuk mempersoalkan mengapa.
Untuk Soalan saudara kita yang kedua mengenai apakah kedudukan manusia disisi Tuhan, saya telahpun menjelaskan pendapat saya bahawa kedudukan manusia itu adalah setaraf dengan makhluknya yang lain. Akan Tetapi, penciptaan KITA mempunyai kedudukan yang tersendiri disisi Tuhan. Ini kerana peranan kewujudan KITA di dunia ini adalah untuk memakmurkan alam ini disamping untuk diuji tahap keimanannya kepada sang Pencipta.
Sewaktu menjalankan tugas sebagai Khalifah Di dunia ini, KITA telah diuji dengan dua bisikan iaitu, bisikan akal dan nafsu. Kewujudan ini menyebabkan adakalanya manusia itu tergelincir dari menuju kehadrat Tuhannya, dan adakalanya menjadikan mereka lebih dekat dengan Tuhannya. Ini menyebabkan manusia sentiasa berada dalam keadaan perantaraan dan samada kita berjaya mengawal kedua-duanya atau tidak.
Berbeza dengan penciptaan Jin dan Malaikat, mereka hanya memiliki satu bisikan iaitu; malaikat memiliki akal dan syaitan memiliki nafsu sahaja. Oleh kerana itulah, jika KITA berjaya mengawal keduanya, maka dengan izinNYa, darjat kita lebih tinggi dari malaikat, tetapi jika kita gagal mengawal keduanya, kita lebih hina dari Syaitan itu sendiri. Ingat, sehina-hina Syaitan, tidak pernah diantara mereka mengaku bahawa mereka adalah tuhan, tetapi manusia, ada yang sanggup mengakuinya.
Untuk itu, saya berpendapat, Disisi tuhan manusia adalah setaraf dengan makhluknyaNya, akan tetapi KITA, memiliki kedudukanyang tersendiri setimpal dengan amalan dan tahap kepercayaan kita terhadap Tuhan.
Wallahualam.